Thursday, December 31, 2009

موعد الإمتحان 2010

Tarikh peperiksaan awam 2010

31/12/2009 8:55pm

KUALA LUMPUR 31 Dis. — Kementerian Pelajaran hari ini mengumumkan 21 hingga 23 Sept. tahun depan sebagai tarikh Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), manakala 5 hingga 12 Okt. tahun depan sebagai tarikh peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dalam satu kenyataan di sini berkata Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan berlangsung pada 22 Nov. hingga 16 Dis. tahun depan dan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) pada 22 dan 23 Jun tahun depan.
Katanya, peperiksaan lisan Sijil Tinggi Pelajaran Agama Malaysia (STAM) akan diadakan pada 12 hingga 23 Julai, manakala peperiksaan bertulis pada 18 hingga 27 Okt. tahun depan.
"Tarikh tersebut mengambil kira keperluan cuti bagi perayaan-perayaan utama seperti Hari Raya Puasa, Hari Malaysia, Deepavali, Hari Raya Haji dan Awal Muharam sepanjang tempoh peperiksaan,” katanya. - Bernama

rujukan : utusan online

gerhana bulan خسوف القمر

PUTRAJAYA 30 Dis — Fenomena gerhana bulan separa dijangka berlaku Jumaat ini 1 Jan 2010 bersamaan dengan 15 Muharam 1431H bermula pukul 1.17 pagi hingga 5.28 pagi waktu tempatan.
Menurut kenyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini, gerhana akan bermula dengan fasa penumbra pada pukul 1.17 pagi dan mencapai tahap gerhana maksimum pada pukul 3.24 pagi.
"Gerhana ini dijangka berakhir pada pukul 5.28 pagi. Gerhana yang jelas hanya dapat dilihat apabila bulan memasuki bayang umbra bumi iaitu dari pukul 2.53 pagi sehingga gerhana maksimum,” kata kenyataan itu.
Sehubungan fenomena itu, masyarakat Islam digalakkan menunaikan solat sunat khusuf atau solat sunat gerhana bulan yang disertai dengan khutbah khas gerhana bulan, bersempena dengan kejadian gerhana bulan itu.
Ekoran gerhana yang berlaku semasa cuti sambutan tahun baru 2010, orang ramai dijemput hadir bagi menyaksikan fenomena alam semula jadi itu dan turut serta menunaikan solat sunat khusuf yang akan diadakan di Masjid Negara.
"Program yang merupakan anjuran bersama Masjid Negara, Jakim dan Agensi Angkasa Negara itu bertujuan meningkatkan tahap keimanan masyarakat Islam,” kata Jakim.

rujukan : utusan online


p/s: dalam bahasa arab gerhana bulan disebut sebagai خسُوفُ (khusuf) .... manakala gerhana matahari disebut sebagai كسوف (Kusuf ).........

jadi gerhana bulan disebut khusuful qamar خُسُوفُ الْقَمَر

manakala gerhana matahari disebut kusufush shams كُسُوفُ الشمس

perhatikan ada perbezaan huruf pangkal antara gerhana bulan (خ) dan gerhana matahari (ك)


Wednesday, December 23, 2009

Malaysia mampu jadi pusat kembang bahasa sastera Arab

KUALA LUMPUR 21 Dis. - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yakin negara mampu menjadi pusat penyebaran dan perkembangan ilmu bahasa serta kesusasteraan Arab di rantau ini.
Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin berkata, sokongan padu negara-negara Islam menunjukkan betapa tinggi keyakinan mereka terhadap usaha yang telah dilakukan oleh negara ini.
''Justeru dengan sambutan menggalakkan itu, Malaysia diyakini akan menjadi pusat perkembangan bahasa dan sastera Arab, seterusnya menjadi tumpuan pelajar serta pendidik dari seluruh dunia,'' katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Persidangan Bahasa dan Sastera Arab Antarabangsa (ICALL) kali kedua di UIAM Kampus Gombak di sini hari ini.
Hadir sama, Rektor UIAM, Prof. Datuk Seri Syed Arabi Idid; Dekan Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan UIAM, Dr. Badri Najib Zubir dan Pengerusi ICALL, Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Chik.
Kira-kira 300 peserta tempatan dan antarabangsa menyertai persidangan tiga hari itu yang bertemakan 'Pengislaman Dalam Pengajian Bahasa dan Kesusasteraan Arab Serta Aplikasinya'.
Menurut Abdullah, peluang untuk negara ini menjadi pusat pembangunan pendidikan bahasa dan sastera Arab sangat cerah dengan adanya program seperti J-QAF (Jawi, al-Quran, Arab dan Fardu Ain) yang telah diterapkan dari peringkat sekolah rendah lagi.
Sementara itu, Syed Arabi berkata, persidangan itu bermatlamat menitikberatkan agenda pengIslaman dalam bahasa dan sastera Arab yang telah menyumbang kepada peningkatan ketamadunan masyarakat Islam dari zaman jahiliah sehingga kini.
Tambahnya, kebolehan pelajar tempatan menguasai bahasa Arab juga telah meningkat dan menunjukkan prestasi yang lebih baik serta setanding dengan pelajar dari negara Islam lain.

rujukan: utusan malaysia

Saturday, December 12, 2009

subjek bahasa arab diambil kira untuk biasiswa nasional

Garis panduan mata pelajaran tambahan SPM


KUALA LUMPUR 7 Dis — Mata pelajaran tambahan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diambil kira dalam penganugerahan Biasiswa Nasional tajaan kerajaan sekiranya ianya termasuk dalam 10 mata pelajaran maksimum yang diambil oleh calon, kata Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom hari ini.
Bahasa Arab juga termasuk dalam senarai mata pelajaran tambahan selain daripada Bahasa Cina atau Tamil dan Kesusasteraan Cina dan Tamil.
Mata pelajaran tambahan tidak boleh diganti dengan mata pelajaran lain.
"Mata pelajaran tambahan yang dinyatakan di atas akan hanya diambil kira dengan pengiraan mata, bagi tujuan kemasukan ke kursus-kursus Pengajian Bahasa Tamil atau Bahasa Cina atau Bahasa Arab atau kursus-kursus berkaitan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA),” kata beliau dalam satu kenyataan.
Alimuddin berkata keputusan kedua-dua mata pelajaran tambahan tersebut akan dicatatkan pada sijil SPM yang sama dan juga boleh digunakan bagi menyertai latihan penguruan bagi pelantikan guru Bahasa Cina, Bahasa Tamil atau Bahasa Arab.
Jemaah Menteri minggu lepas bersetuju selepas menerima rayuan supaya membenarkan calon SPM mengambil dua lagi mata pelajaran tambahan kepada maksimum 10 mata pelajaran.
Keputusan keseluruhan SPM bagaimanapun dihadkan kepada 10 mata pelajaran utama.
"Dengan formula 10 2 ini, tidak timbul lagi masalah pelajar yang tidak dibenarkan mengambil mata pelajaran Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Kesusasteraan Cina dan Kesusasteraan Tamil.
"Mereka boleh mengambil mana-mana satu atau dua mata pelajaran tambahan ini tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan di atas,” kata Alimuddin.
Kelonggaran itu boleh diguna pakai untuk pelajar semua aliran.
Alimuddin berkata syarat-syarat lain pengambilan mata pelajaran dalam peperiksaan SPM, termasuk syarat mata pelajaran teras dan mata pelajaran elektif sedia ada, juga kekal.
Kata beliau pelajar aliran agama sains juga boleh mengambil mana-mana 10 mata pelajaran dan satu mata pelajaran tambahan iaitu Bahasa Arab walaupun selepas 2010.
Kumpulan yang mewakili sekolah agama dalam beberapa pertemuan dengan Kementerian Pelajaran telah menyatakan 11 mata pelajaran telah mencukupi, kata Alimuddin.

rujukan:utusan online

INFO SEMASA

slide show