Wednesday, December 23, 2009

Malaysia mampu jadi pusat kembang bahasa sastera Arab

KUALA LUMPUR 21 Dis. - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yakin negara mampu menjadi pusat penyebaran dan perkembangan ilmu bahasa serta kesusasteraan Arab di rantau ini.
Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin berkata, sokongan padu negara-negara Islam menunjukkan betapa tinggi keyakinan mereka terhadap usaha yang telah dilakukan oleh negara ini.
''Justeru dengan sambutan menggalakkan itu, Malaysia diyakini akan menjadi pusat perkembangan bahasa dan sastera Arab, seterusnya menjadi tumpuan pelajar serta pendidik dari seluruh dunia,'' katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Persidangan Bahasa dan Sastera Arab Antarabangsa (ICALL) kali kedua di UIAM Kampus Gombak di sini hari ini.
Hadir sama, Rektor UIAM, Prof. Datuk Seri Syed Arabi Idid; Dekan Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan UIAM, Dr. Badri Najib Zubir dan Pengerusi ICALL, Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Chik.
Kira-kira 300 peserta tempatan dan antarabangsa menyertai persidangan tiga hari itu yang bertemakan 'Pengislaman Dalam Pengajian Bahasa dan Kesusasteraan Arab Serta Aplikasinya'.
Menurut Abdullah, peluang untuk negara ini menjadi pusat pembangunan pendidikan bahasa dan sastera Arab sangat cerah dengan adanya program seperti J-QAF (Jawi, al-Quran, Arab dan Fardu Ain) yang telah diterapkan dari peringkat sekolah rendah lagi.
Sementara itu, Syed Arabi berkata, persidangan itu bermatlamat menitikberatkan agenda pengIslaman dalam bahasa dan sastera Arab yang telah menyumbang kepada peningkatan ketamadunan masyarakat Islam dari zaman jahiliah sehingga kini.
Tambahnya, kebolehan pelajar tempatan menguasai bahasa Arab juga telah meningkat dan menunjukkan prestasi yang lebih baik serta setanding dengan pelajar dari negara Islam lain.

rujukan: utusan malaysia

No comments:

Post a Comment

INFO SEMASA

slide show