Thursday, December 18, 2008

POLITIK DAN BAHASA!!!!!!!!!! (TERKINI)

saya berkesempatan membantu bekas pengetua saya yang kini menjadi ahli parlimen melaksanakan kerja serta tugasan berkaitan urusan parlimen selepas habis praktikal bagi mengisi masa lapang. Alhamdulillah banyak perkara yang saya pelajari mengenai politik atau dalam bahasa arabnya dikenali sebagai "siasah".dan saya berpeluang mengikuti siaran langsung perbahasan dewan rakyat di mana ahli parlimen berhujah mengenai dasar dan keadaan negara kita.

buat pengetahuan semua minggu ini adalah minggu terakhir bagi persidangan parlimen bagi mesyuarat ketiga, penggal pertama, parlimen kedua belas (2008). sepanjang minggu ini beberapa rang undang-undang telah dibentangkan antaranya rang undang-undang suruhanjaya pencegahan rasuah dan rang undang-undang suruhanjaya pelantikan kehakiman.dan seperti dijadualkan parlimen Malaysia akan ditangguhkan persidangannya pada hari ini dan maka begitu jugalah tugas saya akan berakhir.

bila saya mengikuti perbahasan tersebut banyak perkara yang berlegar-legar di fikiran saya dan saya dapat sesuatu yang selama ini saya hanya dengar serta bayangkan sahaja. saya dapat mengetahui sedikit sebanyak perjalanan pentadbiran negara kita dan bagaimana sesuatu belanjawan itu dibentangkan, dibahaskan dan dipersetujui oleh ahli parlimen kita. begitu juga memahami proses bagaimana sesuatu rang undang-undang yang diusulkan akan menjadi satu akta di negara kita selepas mendapat persetujuan majoriti. satu perkara yang sebelum ini saya tidak ketahui dan pelajari. dan Alhamdulillah melalui pengalaman ini saya telah mempelajari dan memperolehi sesuatu yang bermakna dalam hidup saya.

juga semasa sesi perdebatan yang berlangsung di antara ahli parlimen mengingatkan saya kembali kepada zaman universiti saya semasa saya menjadi presiden kelab debat bahasa arab UIAM. yang mana konsepnya ada persamaan iaitu idea dan hujah dilontarkan dan dipertahankan manakala pihak yang lain akan meragukan hujah dan idea tersebut. cuma apa yang dibahaskan di dewan rakyat akan menjadi penyata rasmi atau istilah lainnya dikenali sebagai "hansard" dan mesti bersandarkan kepada fakta dan bukti yang kukuh serta penyelidikan yang mendalam. dan bercakap tanpa berlandaskan fakta yang betul akan menyebabkan kredibiliti seseorang ahi parlimen itu akan terjejas. meskipun begitu saya tidak pernah berdebat walhal saya memegang jawatan presiden kelab debat bahasa arab dan ini meninggalkan sedikit sebanyak sesalan kepada diri saya. tetapi alhamdulillah saya masih mampu meneruskan minat saya terhadap debat ini dengan membantu memberikan idea untuk dihujahkan dan diperdebatkan di dewan rakyat yang mulia dan berprestij itu.

bukanlah saya ingin berbicara panjang lebar mengenai perjalanan parlimen kita di sini cuma ianya sebagai muqaddimah kepada topik yang saya utarakan di atas.

bila saya amati mengenai perjalanan parlimen di negara kita telah mencetuskan satu persoalan kepada saya di mana saya berfikir bahawa politik boleh memberi kesan kepada pembangunan sesuatu bahasa.kenapa saya berkata begitu adalah kerana saya berpendapat fokus dan keutamaan sesuatu bahasa itu tertakluk kepada kesedaran dan dasar pihak pemerintah dan pemegang kuasa politik majoriti di sesebuah negara.

bersandarkan kepada pemerintahan british di negara kita suatu masa dahulu, dilihat pihak british sangat mengutamakan bahasa inggeris dan justeru itu maka sekolah yang menggunakan bahasa inggeris ditubuhkan. begitu juga dengan pemerintahan jepun. jepun berkehendakkan bahasa jepun menjadi bahasa utama maka sekolah yang menggunakan bahasa jepun juga ditubuhkan.

jadi bahasa inggeris dan jepun menjadi keutamaan pemerintah dan maka pembangunan bahasa tersebut mendapat sokongan dari pemerintah. dan mereka yang menguasai bahasa tersebut mendapat keistimewaan dari banyak aspek. maka berbagai usaha dan rancangan dilakukan untuk mencapai matlamat tersebut. hasilnya mereka yang melalui zaman penjajahan tersebut ada yang mampu bertutur di dalam bahasa inggeris dan jepun.

begitu jugalah yang terjadi kepada negara kita. misalnya di negara kita bahasa inggeris diberi penekanan dan peluang oleh kerajaan secara meluas tanpa meminggirkan bahasa ibunda. begitu juga bahasa kebangsaan kita yang diberi peranan dan tempatnya yang tersendiri di negara kita.
kerana apa bahasa inggeris diberi tumpuan oleh kerajaan kita adalah kerana kesedaran akan kepentingan bahasa tersebut.

begitulah juga dengan bahasa arab di Malaysia. kerajaan juga memberi tumpuan kepada pembangunan bahasa arab di malaysia. oleh kerana kerajaan memberikan penumpuan khusus kepada bahasa arab maka bahasa arab mendapat kelebihannya yang tersendiri di negara kita. Alhamdulillah kerajaan telah mengambil inisiatif untuk memartabatkan penggunaan bahasa arab di malaysia melalui kementerian pelajaran yang telah memberi peluang kepada para pelajar untuk belajar bahasa arab. ini melalui pengenalan matapelajaran J-QAF di sekolah rendah dan kelas aliran agama (KAA) yang menawarkan subjek bahasa arab di peringkat sekolah menengah. usaha dasar kerajaan ini telah memberi peluang kepada pelajar untuk mempelajarinya dan telah juga dijadikan subjek tambahan peperiksaan PMR dan SPM serta di peringkat pra-universiti ada ditawarkan STAM.

ini juga bagi memastikan liberalisasi pendidikan dapat dinikmati oleh semua pihak tanpa mengabaikan pihak yang lain. melalui liberalisasi pendidikan atau lebih khusus liberalisasi subjek bahasa arab, pelajar yang tidak diterima ke SMKA dapat juga mempelajari bahasa arab di sekolah menengah harian mengikut sukatan yang sama dengan apa yang di ajar di SMKA. jadi liberalisasi pendidkan ini memberi peluang kepada semua pelajar yang ingin belajar bahasa arab tanpa ada halangan yang wujud. jadi ini saya lihat perkembangan positif kepada pembangunan dan pengembangan bahasa arab di malaysia. ditambah pula dengan usaha kementerian pelajaran mengambil pengambilan baru guru bahasa arab untuk menampung permintaan subjek berkenaan di sekolah-sekolah.

seharusnya kita mengambil peluang ini untuk turut sama memberi sumbangan kepada peningkatan mutu pembelajaran bahasa arab di malaysia.

oleh itu apa yang dapat saya rumuskan di sini adalah jatuh bangun sesuatu bahasa itu mempunyai kaitan rapat dengan kuasa politik. maka untuk memajukan sesuatu bahasa itu tidak boleh tidak mesti melalui politik dan politik boleh menjatuhkan sesuatu bahasa dan begitu juga mampu membangunkan serta mengembangkan sesuatu bahasa. saya juga percaya politik boleh dijadikan sebagai wasilah untuk memartabatkan sesuatu bahasa. saya berharap melalui usaha memberikan pelajar kita peluang belajar bahasa arab akan mewujudkan komuniti yang mampu berbahasa dengan bahasa Al-Quran ini di masa akan datang. Wallahu A'lam.



السياسة تفيد في نمو اللغة

No comments:

Post a Comment

INFO SEMASA

slide show